Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Belanjawan Madani 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan komitmen kerajaan memastikan keseimbangan antara tanggungjawab fiskal yang berhemat dan keprihatinan terhadap rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bukan sahaja bertujuan melindungi rakyat daripada cabaran global malah merupakan pelaburan untuk masa depan Malaysia yang lebih mampan, berdaya tahan dan makmur.

“Keseluruhannya, Belanjawan 2026 merangkumi perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan, perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan, pelaburan GLIC, pelaburan awam-swasta dan lain-lain dengan jumlah keseluruhan mencecah RM470 bilion.

“Alhamdulillah, peruntukan kepada KKDW pada tahun 2026 berjumlah RM12.4 bilion meningkat sebanyak RM0.44 bilion atau 3.69% berbanding tahun 2025,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Belanjawan 2026 memperuntukkan jumlah keseluruhan mencecah RM470 bilion meliputi perbelanjaan mengurus dan pembangunan Persekutuan, pelaburan GLIC serta pelaburan awam-swasta.

Daripada jumlah tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima RM12.4 bilion meningkat 3.69 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi RM4.61 bilion diperuntuk bagi mengurus manakala RM7.78 bilion untuk pembangunan.

“Sebanyak RM3.3 bilion daripadanya dikhususkan untuk jaringan prasarana luar bandar meliputi projek jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, lampu jalan kampung, bekalan air serta pemasangan panel solar khusus untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperkukuh kemudahan asas masyarakat desa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, tiga agensi utama iaitu FELDA, RISDA dan FELCRA turut menerima hampir RM2.4 bilion bagi melindungi lebih 720,000 peneroka dan pekebun kecil.

“Bagi memperkasa usahawan pula, MARA menerima hampir RM50 juta untuk menaik taraf 363 premis perniagaan di seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 7,300 usahawan,” ujarnya.

Selain itu, Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA turut menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula dalam sektor strategik bernilai tinggi manakala komuniti Orang Asli menerima peruntukan RM412 juta bagi memperkukuh hak tanah, kebajikan dan pendidikan.

“Kerajaan juga akan memperluas Kelas Tunas Istimewa KEMAS ke seluruh negeri termasuk Terengganu, Labuan dan Kedah, selain menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan,” tambahnya.

Dalam masa sama, TVET turut diberi tumpuan dengan peruntukan meningkat kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion tahun sebelumnya.

“Majlis TVET Negara menerima RM45 juta untuk melaksanakan program digital dan AI melibatkan 10,000 pelajar tahfiz dan pondok,” katanya.

“Insya-Allah, Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh perlindungan rakyat, merancakkan pembangunan luar bandar, memperkasa pendidikan TVET, mengangkat Bumiputera serta memastikan Malaysia bergerak maju sebagai sebuah negara yang lebih mampan, berdaya tahan dan makmur,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast