KUALA LUMPUR – Setakat akhir Jun 2025, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,304.2 billion atau 64.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.
Daripada jumlah ini, 98.3% terdiri daripada hutang domestic manakala pinjaman luar pesisir berkurangan kepada 1.7% (separuh pertama 2024: 2.4%) susulan penebusan sukuk global berjumlah AS$1 bilion pada April 2025.
Tahap hutang berdenominasi asing yang rendah meminimumkan pendedahan kerajaan terhadap risiko pertukaran mata wang asing.
Selain itu, hutang terkumpul bagi setiap instrumen kekal dalam had berkanun yang ditetapkan.
Instrumen patuh syariah yang berjumlah RM634.3 bilion atau 48.6% daripada jumlah hutang kekal sebagai komponen utama dalam struktur hutang.
Daripada jumlah ini, 97.8% adalah terbitan domestik dan bakinya sukuk global dalam dolar Amerika Syarikat (AS).
Penerbitan berterusan intrumen Islam ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan pasaran modal patuh syariah dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
Portfolio hutang domestik Kerajaan Persekutuan merangkumi pelbagai tempoh kematangan dan jenis instrumen.
Sehingga Jun 2025, instrumen jangka pendek dengan tempoh matang 3-, 6-, 9- dan 12-bulan iaitu Bil Perbendaharaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia berjumlah RM2 bilion dan RM5.5 bilion.
Sementara itu, instrumen jangka sederhana dan panjang iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia berjumlah RM659.1 bilion dan RM614.8 bilion dengan tempoh matang sehingga 30 tahun.
Sehingga akhir Jun 2025, hutang terkumpul dengan tempoh matang melebihi lima tahun meningkat kepada 61.1 peratus manakala bagi lima tahun atau kurang mencatat pengurangan kepada 38.9%.
Sehubungan itu, purata wajaran tempoh matang bagi sekuriti hutang terkumpul dijangka meningkat kepada 9.6 tahun menjelang akhir 2025 (2024: 9.3 tahun), mencerminkan pengurusan hutang yang proaktif.
Sementara itu, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.8 bilion terdiri daripada pinjaman pasaran sebanyak RM19.8 bilion dan pinjaman projek sebanyak RM3 bilion.
Pinjaman pasaran termasuk sukuk global dan bon Samurai manakala pinjaman projek melibatkan perjanjian bilateral dan multilateral bagi membiayai program atau projek infrastruktur tertentu.
Daripada jumlah pinjaman luar pesisir, 61.4% adalah dalam denominasi dolar AS, yen (38.5%) dan mata wang lain (0.1%). – MalaysiaGazette
















