JOHOR BAHRU – Pelbagai insiatif telah dilaksanakan bagi memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga pertahanan dan yang terbaharu menerusi penganjuran Persidangan Pengurusan Tatatertib MINDEF 2025.
Persidangan yang berlangsung semalam di sini menyerlahkan komitmen Kementerian Pertahanan terhadap integriti dan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab itu menyaksikan penyertaan 32 pegawai tadbir awam dari seluruh negara.
MINDEF dalam kenyataan berkata, persidangan tahunan ini bertujuan meningkatkan kefahaman serta kesedaran rohani warga kementerian mengenai kepentingan integriti, akauntabiliti dan pematuhan terhadap peraturan tatatertib.

Sepanjang tahun warga MINDEF didedahkan dengan pelbagai program termasuk Program Pengukuhan Integriti dalam khidmatan Awam, Program Smart Integriti dan Taklimat Pengurusan Tatatertib yang menekankan nilai etika serta tanggungjawab penjawat awam.
MINDEF turut menekankan kepentingan amalan peringatan berterusan kepada semua warga kerja agar sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang pelanggaran tatatertib atau tindakan perundangan yang boleh menjejaskan imej serta integriti organisasi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Unit Integriti MINDEF, Ramli Hassan bersama para pegawai dan kakitangan kementerian.
















