Oleh: Prof Madya Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad
“OBESITI bukan sekadar tentang rupa atau saiz baju, tetapi ia adalah punca kepada pelbagai masalah kesihatan dalaman.” Ungkapan ini menggambarkan hakikat yang kini semakin nyata dimana obesiti telah menjadi musuh baharu masyarakat moden.’
Tidak hairanlah ia digelar sebagai “The New Smoking”, kerana kesannya terhadap kesihatan awam kini setara dengan tabiat merokok yang pernah dianggap sebagai ancaman terbesar abad ke-20. Jika rokok pernah menjadi simbol penyakit kronik dan kematian pramatang pada masa lalu, obesiti kini mengambil tempat itu dalam era serba moden ini.
Obesiti bukan sekadar isu penampilan atau kosmetik. Ia adalah penyakit kronik yang membawa beban besar kepada sistem kesihatan negara. Individu yang mengalami obesiti berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes mellitus jenis 2, hipertensi, hiperlipidemia, penyakit jantung koronari, strok, serta beberapa jenis kanser seperti payudara, kolon dan endometrium.
Lebih membimbangkan, obesiti turut dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan keyakinan diri yang rendah. Semua masalah kesihatan ini menjejaskan produktiviti serta kualiti hidup seseorang.
Statistik global menunjukkan situasi ini semakin parah. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2022 mendedahkan hampir satu bilion orang dewasa di dunia kini menghidap obesiti, dan angka itu dijangka mencecah dua bilion menjelang tahun 2035. Di Malaysia pula, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan 54.4% orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes, meningkat hampir 10% berbanding tahun 2011.
Malaysia kini mencatat kadar obesiti kedua tertinggi di Asia Tenggara (19.6%), sekali gus menjadikan kita antara negara paling “gemuk” di dunia. Secara asasnya, obesiti berlaku apabila kalori yang masuk jauh melebihi tenaga yang digunakan.
Namun, puncanya tidak semudah “makan banyak, berat pun naik”. Pemakanan tidak sihat menjadi faktor utama, dimana makanan segera, minuman manis dan tinggi lemak tepu kini menjadi sebahagian rutin harian ramai. Selain itu, gaya hidup moden yang sedentari turut menyumbang.
Kita lebih banyak duduk di depan skrin sama ada di hadapan komputer, televisyen dan gajet, berbanding bergerak aktif. Kurang tidur juga memberi kesan besar kepada pertambahan berat badan. Apabila tidur terganggu, hormon ghrelin yang merangsang selera makan meningkat, manakala hormon leptin yang memberi rasa kenyang menurun.
Akibatnya, seseorang mudah makan secara berlebihan. Faktor psikologi seperti stres turut memburukkan keadaan. Ramai yang mengalihkan tekanan emosi kepada makanan, satu tabiat yang dikenali sebagai “emotional eating”. Faktor genetik dan hormon seperti hipotiroidisme serta sindrom ovarium polisistik (PCOS) juga memainkan peranan dalam meningkatkan risiko obesiti.
Kalori yang berlebihan ini akhirnya disimpan dalam bentuk lemak, terutamanya di bahagian perut, dikenali sebagai obesiti abdomen. Lemak di kawasan ini dipanggil lemak viseral, iaitu lemak yang membungkus organ dalaman seperti hati, jantung dan pankreas.
Lemak viseral jauh lebih berbahaya kerana mengeluarkan bahan radang yang mengganggu fungsi tubuh, menyebabkan rintangan insulin, tekanan darah tinggi, dan pengerasan salur darah. Inilah sebab utama mengapa obesiti abdomen dikaitkan dengan risiko tinggi diabetes jenis 2, serangan jantung dan strok.
Menilai obesiti tidak boleh hanya dengan pandangan mata. Kaedah asas yang digunakan dalam bidang perubatan adalah penilain Indeks Jisim Badan (BMI), iaitu berat badan (kg) dibahagi dengan tinggi (m²). Mengikut klasifikasi Asia Pasifik, BMI antara 25.0 hingga 27.4 dikategorikan sebagai berat badan berlebihan, manakala BMI ≥27.5 dikira obes.
Namun, BMI tidak menunjukkan lokasi lemak. Oleh itu, ukuran lilit pinggang (WC) lebih tepat untuk menilai obesiti abdomen. Apabila WC melebihi 90 cm bagi lelaki atau 80 cm bagi wanita menunjukkan pengumpulan lemak viseral yang berisiko. Penilaian ini penting bagi mengenal pasti individu berisiko tinggi agar intervensi dapat dimulakan lebih awal.
Menguruskan obesiti bukan soal mengejar bentuk badan sempurna, tetapi melindungi kesihatan masa depan. Rawatan utama ialah perubahan gaya hidup. Amalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu separuh pinggan diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, suku dengan protein sihat seperti ikan atau ayam tanpa kulit, dan suku lagi dengan karbohidrat kompleks seperti nasi perang atau roti gandum penuh.
Pengambilan makanan bergoreng, minuman manis dan snek berlemak tinggi mestilah juga dikurangkan. Mengawal kalori masuk tidak cukup dalam pengurusan obesiti. Kalori yang tersimpan didalam badan perlulah dibakar melalui aktiviti fizikal.
Walaupun begitu, kita tidak perlulah ke gim setiap hari, tetapi cukuplah dengan berjalan pantas, berbasikal atau berenang sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Amalan tidur berkualiti selama 7–8 jam adalah penting untuk menstabilkan hormon lapar dan hormon kenyang. Bagi mengelakkan tekanan, amalkan doa, ibadah, aktiviti rekreasi atau hobi yang menenangkan agar tidak terjebak dalam “emotional eating”.
Bagi sesetengah individu, perubahan gaya hidup semata-mata mungkin tidak mencukupi. Dalam kes sebegini, pengambilan ubatan boleh dipertimbangkan. Antara ubat yang digunakan termasuklah Orlistat (mengurangkan penyerapan lemak dalam usus), Liraglutide dan Semaglutide (mengawal selera makan dan kadar gula darah), serta gabungan Naltrexone-Bupropion dan Phentermine-Topiramate.
Rawatan terbaharu seperti Tirzepatide juga menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam mengurangkan berat badan dengan meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan selera makan. Jika semua kaedah ini gagal, pembedahan bariatrik seperti “sleeve gastrectomy” atau “gastric bypass” adalah pilihan terakhir.
Pembedahan bariatrik ini sesuai untuk pesakit dengan BMI ≥40, atau ≥35 dengan penyakit kronik yang tidak terkawal. Namun, pembedahan ini hanya dilakukan selepas penilaian menyeluruh dilakukan. Pesakit yang mempunyai masalah jantung tidak stabil atau gangguan psikiatri yang belum dirawat adalah golongan yang tidak sesuai mendapatkan pembedahan bariatrik ini.
Ajaran Islam menekankan prinsip kesederhanaan dalam pemakanan. Firman Allah SWT: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan” (Al-A’raf: 31). Rasulullah SAW juga berpesan agar perut diisi sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan minuman, dan sepertiga lagi dengan udara. Prinsip ini bukan sahaja bernilai kerohanian, tetapi sejajar dengan prinsip kesihatan moden yang menekankan kawalan saiz hidangan dan keseimbangan kalori. Jika diamalkan, ajaran ini sebenarnya adalah strategi terbaik mencegah obesiti, bukan hanya menjaga tubuh, tetapi juga mendidik jiwa agar lebih berdisiplin dan bersyukur.
Obesiti bukan takdir yang tidak boleh diubah, tetapi ianya adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat dengan kesungguhan, bimbingan profesional dan sokongan persekitaran yang sihat. Dalam dunia yang semakin mendorong gaya hidup tidak sihat, mengekalkan keseimbangan adalah bentuk jihad moden untuk kesihatan. Kesihatan bukan sekadar nikmat, tetapi ianya adalah amanah, dan pelaburan terbaik untuk diri, keluarga, dan masa depan negara.
Penulis adalah Pakar Perunding Kanan Perubatan Penyakit Dalaman (UIAM) merangkap Exco Akademik, Kepakaran dan Kepimpinan (PAPISMA)
















