Muhamad Zaid Zakaria tiba di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor bagi menghadapi pertuduhan menyebabkan kematian abang iparnya dalam kejadian tembakan di sebuah kawasan hutan Batu Caves. 10 OKTOBER 2025.

SELAYANG – Seorang penjual daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian abang iparnya dalam kejadian tembakan ketika berburu di sebuah kawasan hutan di sini, minggu lalu.

Muhamad Zaid Zakaria, 33, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sabreena Bakar@ Bahari.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa menyebabkan kematian Nor Azuar Juyob, 43, dengan melakukan satu perbuatan gopoh atau cuai pada kesalahan mematikan orang dengan salah.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan hutan Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak di sini pada jam 8 malam, 28 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam, Sukhdev Singh yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung keluarga termasuk isteri yang juga suri rumah.

“Mangsa dalam kes ini merupakan abang ipar tertuduh sendiri malah isteri mangsa yang juga kakak kandung tertuduh hadir untuk menjamin,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 18 Disember ini.

Pada 30 September lalu, media melaporkan, penemuan mayat lelaki dengan kesan tembakan di Semanggol, Perak terbongkar apabila siasatan mendapati mangsa dipercayai ditembak saudaranya yang menyangka haiwan buruan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku ketika suspek dan dua rakannya keluar berburu di Batu Caves, Selangor pada pukul 8 malam, 28 September lalu.

Menurut Noor Hisam, selepas menyedari mangsa terkena tembakan, mereka berpakat membawa mayat lelaki itu ke Semanggol menggunakan tiga buah kenderaan sebelum ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap bagi menyorok kejadian sebenar.

Katanya, pihak polis kemudian menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 3.55 pagi memaklumkan seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui tidak bernyawa di Kampung Selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast