Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi dan bantuan kebajikan adalah satu tindakan yang amat penting dan wajar diberikan keutamaan dalam Belanjawan 2026.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, selama ini negara menanggung kos subsidi yang sangat tinggi dan jika diteruskan tanpa pembaharuan, ia bakal memberi kesan besar terhadap kedudukan fiskal negara.

“Penyasaran subsidi dikatakan mampu menjimatkan sehingga RM15.5 bilion.

“Usaha ini mesti diteruskan dengan kriteria yang lebih terperinci agar mereka yang benar-benar memerlukan dalam kalangan B40 dan M40 menerima jumlah bantuan yang lebih wajar, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang dijangka terus meningkat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan di Facebook sebagai reaksi terhadap pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Saiful mencadangkan agar, kerajaan mengambil peluang dalam Belanjawan 2026 untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap mekanisme bantuan kebajikan dan subsidi bagi memastikan penyasaran benar-benar berkesan.

Sebagai rujukan, beliau mengambil contoh pembaharuan sistem kebajikan di United Kingdom yang dilaksanakan sejak 2010 di bawah Menteri, Iain Duncan Smith.

“Kajian mendalam yang dipelopori oleh beliau telah membawa kepada pengenalan ‘Universal Credit’ yang menyatukan pelbagai bentuk bantuan di bawah satu mekanisme.

“Dengan satu permohonan sahaja, rakyat dapat mengakses semua bentuk bantuan yang layak mereka terima, berbeza dengan situasi di negara kita hari ini yang masih terikat dengan pelbagai birokrasi agensi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan membentangkan Kertas Putih Reformasi Sistem Bantuan Kebajikan dan Subsidi di Parlimen tahun depan.

“Jika kerajaan benar-benar serius mahu meningkatkan keberkesanan sistem ini, maka Kertas Putih tersebut perlu mencadangkan satu reformasi menyeluruh, termasuklah mengekalkan konsep pemberian bantuan tunai terus kepada individu yang layak seperti yang telah mula diamalkan sejak 2012,” tambahnya.

Wan Saiful berkata, pemberian bantuan secara terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah telah terbukti memberi manfaat dan harus diperluaskan.

Beliau turut menegaskan bahawa, reformasi sistem bantuan dan subsidi bukan sahaja penting untuk kelangsungan fiskal negara, tetapi juga demi memastikan keadilan sosial kepada golongan rakyat yang paling memerlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast