Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Permintaan domestik dijangka berkembang sebanyak 5.4% dipacu oleh peningkatan perbelanjaan sektor swasta yang mencatat 5.7% pada tahun 2026.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi, aktiviti penggunaan dan pelaburan yang kukuh mengekalkan sumbangan signifikan sector swasta sebanyak 4.5 ppt kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, perbelanjaan awam dijangka meningkat 4.4% dan menyumbang 0.8ppt kepada pertumbuhan keseluruhan.

Penggunaan swasta diunjur berkembang sebanyak 5.1% dipacu pertumbuhan pendapatan yang mampan dan prospek pasaran pekerjaan positif.

Kesan limpahan daripada pelaksanaan SSPA Fasa 2, Sumbangan Tunai Rahmah dan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95), dijangka memberi suntikan tambahan kepada perbelanjaan isi rumah khususnya bagi golongan berpendapatan randah dan sederhana.

Perbelanjaan pengguna dijangka turut didorong oleh aktiviti pelancongan yang lebih rancak berikutan penganjuran acara nasional dan antarabangsa utama termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026, MAHA 2026, Piala Dunia FIFA 2026 serta Piala Thomas dan Uber BWF 2026.

Pelaburan swasta dijangka mencatat pertumbuhan 7.8% pada 2026 didorong oleh peningkatan perbelanjaan modal pembinaan serta jentera dan peralatan dalam sector pembuatan dan perkhidmatan berasaskan teknologi.

Pelaburan diluluskan yang tinggi khusus dalam projek berkaitan semikonduktor, tenaga boleh baharu dan pusat data dijangka direalisasikan.

Unjuran ini disokong oleh rekod pelaksanaan yang baik dengan 85.1% projek pembuatan diluluskan.

Penggunaan awam pula diunjur berkembang sebanyak 3.2% pada 2026, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan emolument susulan pelarasan gaji di bawah SSPA Fasa 2.

Perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan dijangka kekal stabil bagi memastikan penyampaian berterusan perkhidmatan awam, selari dengan disiplin fiskal kerajaan dan prinsip nilai untuk wang.

Sementara itu, pelaburan awam dijangka berkembang 7.3% pada 2026, disokong oleh peningkatan perbelanjaan modal oleh syarikat awam yang dianggar menyumbang sekitar 70% daripada jumlah pelaburan awam.

Pertumbuhan ini akan terus disokong oleh pembangunan strategik termasuk utiliti, tenaga dan pengangkutan untuk menyokong daya tahan ekonomi dan pertumbuhan masa hadapan.

Pembangunan ini termasuk projek meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik, menaik taraf rangkaian kereta api serta sistem pengangkutan awam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast