Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad hadir ke Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI ketika hadir di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Satu perkara baharu yang amat penting dalam Belanjawan 2026 ialah hasil kutipan cukai daripada produk tembakau dan alkohol atau sin tax akan disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu membolehkan hasil cukai digunakan terus untuk menangani penyakit berkaitan seperti kanser paru-paru, sirosis dan kanser hati yang berpunca daripada penggunaan produk tembakau dan alkohol.

Menurut beliau, sebelum ini hasil kutipan cukai tersebut tidak pernah diperuntukkan secara khusus kepada kementerian sebaliknya disalurkan ke dana umum kerajaan.

“Satu perkara baharu yang amat penting ialah hasil kutipan cukai daripada produk tembakau dan alkohol atau sin tax kini akan disalurkan terus kepada KKM bagi menangani penyakit berkaitan seperti kanser paru-paru, sirosis dan kanser hati.

“Dana ini akan digunakan bagi melaksanakan Lung Health Initiative serta Liver Health Initiative untuk mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCDs),” katanya ketika ditemui media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan memperuntuk RM46.5 bilion kepada KKM bagi tahun 2026 berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini.

Ini sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem kesihatan awam negara.

“Peruntukan itu antara lain meliputi lantikan tetap kepada 4,500 lagi doktor kontrak tahun hadapan, sebagai kesinambungan daripada usaha kerajaan menyerap 12,900 doktor kontrak kepada jawatan tetap sejak tahun 2023.

“Selain itu, 833 jururawat kontrak turut ditawarkan lantikan tetap pada tahun ini, manakala 935 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) akan diserap ke jawatan tetap pada tahun hadapan,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan kadar fi perundingan pengamal perubatan am disemak semula kepada antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada penyedia perkhidmatan kesihatan tanpa membebankan rakyat.

Dalam masa sama, kerajaan turut menaikkan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sekitar 40 peratus bermula 1 Oktober 2025 dengan peruntukan tambahan RM120 juta setahun.

Melalui pelarasan itu, doktor pakar yang diarah bertugas atas panggilan aktif pada hari cuti akan menerima ETAP sebanyak RM350 berbanding RM250 sebelum ini.

Dr. Dzulkefly berkata, keseluruhan inisiatif ini menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk bukan sahaja meningkatkan kebajikan petugas kesihatan tetapi juga memperkukuh aspek pencegahan dan rawatan penyakit tidak berjangkit demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast