KUALA LUMPUR – Usaha reformasi kerajaan termasuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, subsidi RON95 dan pelbagai inisiatif lain terbukti berjaya apabila penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan kembali kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan urus tadbir baik serta pengurusan kewangan berhemah membolehkan kerajaan menyalurkan semula manfaat tersebut kepada rakyat melalui pelbagai program kebajikan.
“Dengan tata kelola dan urus tadbir yang baik termasuk mengurangkan ketirisan, mengelak pembaziran serta melaksanakan penyasaran semula subsidi, penjimatan-penjimatan ini akhirnya dapat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut Fahmi yang Ahli Parlimen Lembah Pantai, antara bentuk manfaat itu ialah kesinambungan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan awal persekolahan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Selain itu, tindakan tegas pihak penguat kuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan turut memberi impak besar terhadap penjimatan negara.
“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlah ketirisan akibat penyeludupan amat besar, mencecah RM15.5 bilion pada tahun lalu dan tahun ini.
“Sebahagian daripada penjimatan ini dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan pendidikan percuma kepada pelajar yang menepati kriteria tertentu di bawah PTPTN,” tambahnya.
Dalam sektor komunikasi, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM).
“Tujuannya adalah bagi menggantikan serta menambah baik kesalinghubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Sebelum ini, kita pernah mempunyai sistem kabel dasar laut SKR1M yang disiapkan sekitar tahun 2012 hingga 2013 dan kini ia perlu digantikan,” ujarnya.
Peruntukan lain termasuk untuk pembangunan sovereign cloud yang akan dibangunkan oleh MCMC serta beberapa peruntukan lain bagi penghasilan kandungan kreatif melalui MyCreative Ventures dan FINAS.
“Kita kini sedang meneliti teks penuh kerana semasa ucapan disampaikan, bukan sahaja rakyat mendengar, malah Ahli Parlimen dan menteri-menteri juga buat pertama kali mendengar banyak daripada pengumuman ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















