Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan memperhebat kerjasama dengan semua kerajaan negeri tahun hadapan untuk memanfaat penggunaan tanah bagi projek pertanian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lebih 360 projek dilaksanakan kerajaan mencakupi projek tanaman, ternakan, perikanan dan automasi pertanian sejak 2024.

Menurutnya, sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menyokong tanaman jagung bijian, ternakan akuakultur serta aktiviti tanaman padi di Sabah dan Sarawak.

“Kepada usahawan tani, Agrobank menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion untuk usahawan mengembangkan perniagaan serta menyokong automasi dan mekanisasi dalam projek pertanian.

“Program Agropreneur NextGen KPKM menyediakan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian dengan dana RM20 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang memastikan syarikat menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

Ujarnya, syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun.

Jelas beliau, tempoh permohonan galakan cukai turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.

Katanya lagi, bagi menggalakkan automasi untuk menambah produktiviti tanaman, kerajaan bercadang galakan cukai automasi sektor pertanian bagi penanaman, penternakan, apikultur, akuakultur dan perikanan laut dalam turut diperluas kepada penternakan haiwan terpilih secara sistem reban tertutup.

“Di bawah panas terik dan deru ombak, jerih perih pesawah, petani dan nelayan telah memastikan kita cukup nasi di pinggan, lauk di meja hidangan dan bekalan makanan yang tak pernah putus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast