KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa kecewa apabila isu bantuan kemanusiaan ke Gaza serta kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Persidangan ASEAN dicemari oleh polemik politik yang tidak sihat.
Menurut beliau, usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang mudah, malah memerlukan pengorbanan besar termasuk nyawa para sukarelawan.
“Saya rasa tersinggung sedikit bila ini yang kita nak lakukan tapi dalam masa yang sama ditimbulkan polemik politik yang tidak sihat.
“Begitu juga pada anak-anak kita. Tak semua orang sanggup gadai nyawa bertarung untuk bantu rakyat Gaza,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman, PPAM Melinjau, Presint 11 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan tersebut.
“Jadi, yang bantu, kita ucap jazakumullah khairan, kasihan, terima kasih dan doakan. Dan ini saya harap sikap yang harus ada di kalangan orang Islam dan semua rakyat Malaysia yang lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sembilan rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera Israel dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza sedang diuruskan dengan kerjasama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan dan akan tiba di Istanbul.
“Kita sedang uruskan dengan Presiden Turki dan kita doakan, InsyaAllah mereka akan sampai ke Istanbul,” kata beliau.
Anwar berkata, tumpuan kini bukan sahaja di Malaysia tetapi, menjadi perhatian seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar serta Hamas bagi mencari jalan memastikan proses perdamaian berjaya.
“Yang keduanya, tumpuan satu dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas ialah cari jalan memastikan proses perdamaian ini berhasil.
“Jadi kita di Malaysia pun begitu, doakan janganlah timbulkan bantah lawatan dan sebagainya kerana kita sekarang minta semua negara termasuk rayuan kita kepada Presiden Donald Trump supaya memastikan perjanjian ini dimeterai kemudian dilaksanakan,” ujarnya.
Tambah beliau, semangat kerjasama dan doa bersama perlu dipupuk untuk merealisasikan perdamaian.
“Jadi, saya harap semangat itu ada. Kita tentunya mendoakan tetapi kita nak capai. Ini juga maklumat daripada Hamas,” tambah beliau.
Beliau berkata, walaupun Hamas menyatakan hasrat untuk perdamaian, tindakan kekerasan dan penindasan yang sedang berlaku mesti dihentikan terlebih dahulu.
“Kalau Hamas pun nak perdamaian, yang kita ajak gaduh ni sebab apa? Kerana orang dibunuh, negeri dijajah. Anak-anak kecil, wanita itu terus digugurkan. Jadi kita nak hentikan itu dulu,” katanya. – MalaysiaGazette
















