Penjawat awam menyaksikan siaran langsung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Belanjawan bagi tahun 2026 di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan ke atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu juga pengecualian 100 peratus duti eksais dan pengecualian 100 peratus cukai jualan akan diteruskan bagi pembelian kereta nasional baharu Proton dan Perodua oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.

“Bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi, HRD Corp menyediakan RM10 juta untuk menanggung kos kursus dan elaun kepada pemandu teksi berlesen yang bercarum menjalani latihan peningkatan kapasiti,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut bercadang memperkenalkan beberapa insentif cukai kepada pemain industri pelancongan dan kebudayaan sebagai langkah merancakkan sektor tersebut.

Cadangan itu, katanya, melibatkan empat bentuk insentif utama yang dijangka memberi dorongan besar kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan dan acara antarabangsa.

“Pertama, pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan bakal diberi potongan cukai ke atas perbelanjaan layak yang dilakukan, terhad sehingga RM500,000.

“Kedua, syarikat pengendali pelancongan pula bakal menikmati pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus daripada nilai peningkatan pendapatan hasil pakej pelancongan ke Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, ketiga, syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau program insentif bertaraf antarabangsa akan diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Bagi yang keempat, kata Perdana Menteri, syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan peserta asing turut ditawarkan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

“Langkah ini dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini, sekaligus menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara pasca pandemik,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast