KUALA LUMPUR – Semangat kemanusiaan dan keilmuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dizahirkan melalui peluncuran buku “Smiles of Hope: Oral Health Care for the Homeless” yang diterbitkan oleh Fakulti Pergigian (FPg) USIM.
Buku ini dilancarkan bersempena program Jaulah Sukarelawan USIM 2025: Semarak Siswa Madani (Chapter Kuala Lumpur) yang diadakan di Yayasan Chow Kit (YCK) malam tadi.
Program Jaulah Sukarelawan USIM ini adalah menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan, kaunseling, bimbingan motivasi dan program kesenian, pelajar juga berpeluang memahami realiti kehidupan masyarakat bandar melalui interaksi langsung bersama komuniti terpinggir.
Pendekatan ini memperkukuh usaha USIM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki empati, jiwa ihsan dan kesedaran sosial yang tinggi.
Majlis peluncuran disempurnakan oleh Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM, dengan kehadiran Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, ahli Lembaga Pengarah Universiti, serta rakan strategik universiti.
Buku tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan kemanusiaan yang menyatukan semangat sukarelawan, keikhlasan dan kasih sayang dalam memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada komuniti gelandangan di sekitar Chow Kit.
Menurut Dr. Sharifudin, peluncuran buku ini melambangkan keunikan falsafah pendidikan USIM yang menggabungkan ilmu dan amal dalam membentuk graduan berjiwa ihsan.
“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa ilmu di USIM bukan hanya untuk dikuasai, tetapi untuk dikongsi dan dihayati bersama masyarakat. Smiles of Hope ialah bukti bahawa rahmah dan ilmu boleh bertemu dalam satu tindakan kecil yang membawa makna besar,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ainuddin Yushar Yusof menzahirkan rasa bangga terhadap usaha para sukarelawan yang menjadi teras kepada penerbitan buku ini.
“Buku Smiles of Hope bukan sekadar catatan rawatan pergigian, tetapi kisah tentang maruah yang dipulihkan dan harapan yang dihidupkan melalui sebuah senyuman. Ia menjadi inspirasi kepada kami untuk terus membawa pendidikan pergigian ke tengah masyarakat,” ujarnya.
Dr. Ainuddin menambah lagi, agar dapat meneruskan program kemasyarakatan ini selagi diperlukan oleh warga Chow kit, dan berharap sokongan dari badan kerajaan, koperat, NGO dan sumbangan individu bagi memastikan kelangsungan program ini di masa hadapan.
Buku ini mendokumentasikan perjalanan sukarelawan pergigian USIM sejak tahun 2017 yang gigih menjalankan rawatan dan pendidikan kesihatan mulut kepada golongan gelandangan di ibu kota.
Setiap helaian mengisahkan realiti di sebalik senyuman, kisah tentang ketabahan, empati, dan usaha kolektif yang menjadikan penjagaan kesihatan mulut bukan lagi satu keistimewaan, tetapi hak semua manusia.
Peluncuran buku ini turut menjadi seruan kepada lebih ramai individu, organisasi dan institusi untuk bersama menggerakkan usaha kemanusiaan berasaskan ilmu.
Ia mencerminkan roh USIM Living Lab 3.0, pendekatan USIM yang menjadikan dunia luar sebagai “makmal hidup” bagi pelajarnya.
Melalui USIM Living Lab 3.0, pelajar USIM berpeluang mempraktikkan ilmu Naqli dan Aqli dalam suasana sebenar masyarakat melalui pemeriksaan kesihatan, kaunseling, bimbingan motivasi hingga penglibatan seni komuniti.
Pendekatan ini memperkukuh misi USIM melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki nilai empati, rahmah dan kesedaran sosial yang tinggi. – MalaysiaGazette
















