KUALA LUMPUR – Kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebanyak 40 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 disifatkan sebagai isyarat bermulanya era baharu pengiktirafan dan pembaharuan terhadap warga kesihatan negara.
Menurut Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran, langkah itu bukan sahaja membetulkan ketidakseimbangan yang telah lama berlaku sejak 2011, malah menandakan kesediaan kerajaan untuk memperkukuh sistem kesihatan awam dengan pendekatan yang lebih adil dan mampan.
“Kadar ETAP bagi doktor pakar atas panggilan aktif pada hari cuti meningkat daripada RM250 kepada RM350 dengan peruntukan tambahan RM120 juta setahun.
“Ini bukan sekadar angka sebaliknya ia mesej jelas bahawa kerajaan mengiktiraf beban dan tanggungjawab sebenar petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Lingeshwaran turut menekankan pelan menyeluruh kerajaan menerusi Belanjawan 2026 akan memberi kesan langsung kepada tenaga kerja kesihatan apabila 4,500 doktor kontrak akan dilantik tetap tahun hadapan.
Ini diikuti 935 graduan jururawat baharu yang juga menerima lantikan tetap.
Beliau berkata, langkah menyemak kadar fi perundingan bagi pengamal perubatan swasta (GP) daripada RM10–RM35 kepada RM10–RM80 menunjukkan keseimbangan dalam memastikan sektor awam dan swasta terus berdaya saing serta saling melengkapi.
“Kerajaan Madani sedang membina jambatan baharu antara kecekapan sistem dan kebajikan petugas. Ini formula yang sudah lama ditunggu oleh doktor, jururawat dan semua profesional kesihatan di lapangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan inisiatif tersebut memberi suntikan moral kepada seluruh warga kesihatan untuk terus berkhidmat dengan semangat baharu selepas bertahun-tahun menanggung tekanan kerja tanpa penilaian setimpal.
“Kini tiba masanya untuk kita bergerak ke hadapan dengan tenaga baharu, selaras dengan hala tuju kesihatan negara yang lebih mampan, inklusif dan menghargai manusia di sebalik sistem,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri kesihatan kerana berani melaksanakan perubahan struktur yang menyentuh terus aspek kesejahteraan petugas kesihatan, sesuatu yang menurutnya tidak pernah diberi perhatian serius selama lebih sedekad. – MalaysiaGazette















