Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya. 11 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Kenaikan kadar perundingan pengamal perubatan am di antara RM10 hingga RM80 yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 tidak membebankan rakyat, sebaliknya memberi galakan kepada doktor untuk menawarkan khidmat yang lebih efisien dan bertanggungjawab.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan masih menekankan kepentingan rakyat dengan tidak menaikkan harga lantai (RM10) dan cuma menambah harga siling daripada RM35 kepada RM80.

“Pengekalan harga lantai RM10 merupakan kelegaan besar kepada pesakit yang datang mendapatkan nasihat konsultasi melibatkan kes yang berbeza-beza.

“Kalau pengamal perubatan meluangkan masa 10 minit atau 40 minit, sudah tentu kadar bayaran yang dikenakan adalah berlainan terutama jika melibatkan ujian kesihatan bagi mengetahui status pesakit.

“Jika sekadar mendapatkan nasihat dan rawatan untuk batuk dan selsema, sudah tentu cajnya berbeza dengan mereka yang datang untuk penyakit lain lain seperti kencing manis dan darah tinggi yang perlu menjalani ujian air kencing dan sebagainya.

“Di sini, kita memberikan galakan kepada pengamal perubatan awam untuk lebih bertanggungjawab dengan menjalankan lebih penilaian dan pengawasan kepada pesakit.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Hospis dan Rawatan Paliatif Sedunia 2025 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Dzukefly ditanya berhubung kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan kadar fi perundingan pengamal perubatan am ditetapkan antara RM10 hingga RM80 berbanding RM10 hingga RM35 sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam berkata, kadar fi perundingan perubatan am tidak pernah disemak sejak 19 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, perkara yang melibatkan polisi sudah tentu akan memberi kesan `double edge’ (ada kebaikan dan keburukan) kepada rakyat kerana ia melibatkan kos.

Ujar beliau, pihak yang tidak bersandarkan kepada insurans akan mengeluarkan wang saku sendiri dan sudah tentu menyusahkan.

Menurut beliau, doktor perubatan am penting kerana mereka tulang belakang kepada penjagaan kesihatan, maka peningkatan kadar fi perundingan membuka ruang dan galakan kepada mereka untuk meluangkan lebih masa untuk mengetahui kondisi pesakit.

“Peningkatan itu memberi peluang mereka bergerak lebih jauh dan meluangkan lebih masa untuk pesakit sesuai dengan kadar yang dibayar.

“Rakyat tidak akan marah dan tidak kisah membayar lebih jika khidmat yang ditawarkan itu berpadanan dengan wang yang dikeluarkan.

“Ramai doktor yang prihatin dengan keadaan pesakit dan mereka akan tetap mendapatkan khidmat daripada doktor yang sama, tetapi pesakit yang tidak berpuas hati, tidak akan datang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast