KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia (RURAL MALAYSIA) menggesa kerajaan agar memastikan subsidi dan insentif tanaman padi bernilai RM2.62 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 benar-benar memberi manfaat kepada pesawah.
Pengerusinya M.S Anuar Mahmod berkata, insentif tersebut tidak boleh sekadar menampung kos baja, racun dan jentera sebaliknya mesti menambah hasil bersih pesawah.
“Angka yang diumumkan iaitu RM4,300 sehektar setiap musim termasuk subsidi dan insentif tanaman padi bernilai RM2.62 bilion kelihatan besar.
“Namun, jika mekanisme pelaksanaan tidak dikawal dengan teliti, sebahagian besar dana ini berisiko terus mengalir ke poket pengedar input dan bukan menambah pendapatan bersih pesawah” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, RURAL Malaysia turut menggesa kerajaan supaya mengawal harga dan input kerana harga baja, racun dan upah akan dimanipulasi sehingga memakan semula subsidi sekiranya pengawasan harga tidak dilakukan.
Ia juga meminta supaya harga belian padi ditetapkan memihak kepada pesawah selain memastikan ketelusan penuh dalam agihan.
“Belanjawan 2026 tidak boleh sekadar menambah angka di atas kertas. Ia mesti membela pesawah secara nyata iaitu golongan yang menjadi nadi sekuriti makanan negara tetapi paling lama terhimpit dalam sistem pertanian yang tidak adil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















