Aliran trafik sepanjang Lebuh Raya Sungai Besi masih beroperasi dengan lancar dan terkawal tanpa sebarang kesesakan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara melakukan persediaan rapi bagi menghadapi peningkatan trafik sempena sambutan Deepavali pada 20 Oktober ini.

Menurut kenyataan LLM, lonjakan trafik dijangka bermula seawal Khamis, 16 Oktober apabila orang ramai mula pulang ke kampung menuju ke arah utara, selatan dan pantai timur.

“LLM menjangkakan peningkatan trafik di lebuh raya utama seawal 16 Oktober bagi pengguna yang menuju ke arah utara, selatan dan Pantai Timur.

“Bagi memastikan perjalanan pengguna kekal selamat dan lancar, LLM mengarahkan semua syarikat konsesi supaya tidak menutup sebarang lorong lebuh raya antara 17 hingga 23 Oktober kecuali bagi kerja kecemasan,” kata LLM.

Selain itu, laluan ‘smart lane’ akan diaktifkan di 29 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dan semua sistem kutipan tol akan dipastikan beroperasi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol.

Secara keseluruhan, sebanyak 2.67 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama pada hari-hari puncak perayaan, termasuk 2.2 juta kenderaan di bawah PLUS Malaysia Berhad.

Manakala 170,000 di Lebuh Raya KL-Karak, 90,000 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1, 40,000 di Fasa 2, dan 170,000 di Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat.

LLM berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan trafik dan bekerjasama dengan syarikat konsesi bagi memastikan semua pengguna dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa sepanjang musim perayaan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast