KAJANG – Seorang penumpang bas maut selepas bas ekspres yang dinaikinya dipercayai terbabas dan melanggar tebing bukit di Kilometer (KM) 293.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi kejadian.
“Bantuan turut diterima daripada BBP KLIA dan BBP Seri Kembangan. Hasil pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar tiang papan tanda lebuh raya,” katanya hari ini.
Menurut beliau, terdapat 19 mangsa termasuk pemandu dalam bas berkenaan.
Difahamkan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun ditemui tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
“Tiga lagi mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada jam 3.48 pagi, manakala penumpang lain keluar sendiri sebelum pasukan penyelamat tiba,” ujarnya.
Ahmad Mukhlis berkata, seramai 17 penumpang dan seorang pemandu cedera dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Operasi penyelamatan selesai selepas semua mangsa berjaya dibawa keluar untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette















