KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan ketidaktegasan kerajaan apabila tiada sebarang pengumuman mengenai cukai rokok elektrik (vape) dalam pembentangan Belanjawan 2026 semalam.
Menurut beliau, ini amat menghairankan memandangkan Kementerian Kesihatan sebelum ini telah mencadangkan agar cukai vape dinaikkan daripada 40 sen kepada RM4 setiap mililiter, namun cadangan itu langsung tidak disebut dalam belanjawan kali ini.
“Saya amat hairan apabila tiada langsung sebarang pengumuman mengenai cukai vape dalam Belanjawan 2026, walhal di Parlimen, YB Timbalan Menteri Kesihatan sendiri mengumumkan bahawa kementerian telah mencadangkan kenaikan cukai vape,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Saiful berkata, kerajaan sepatutnya melaksanakan cukai serta penetapan harga minimum sebagai langkah awal yang asas jika benar-benar serius mahu mengharamkan penggunaan vape secara berperingkat.
“Saya faham bahawa langkah pengharaman memerlukan masa. Tetapi cukai dan harga minimum boleh dilaksanakan serta-merta untuk mengurangkan tarikan produk ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada wujud percanggahan dasar antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan apabila cadangan yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan tidak dimasukkan dalam belanjawan.
“Mengapa kerajaan tidak berani melaksanakan cadangan yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan sendiri? Adakah wujud percanggahan dasar di antara kementerian dan perbendaharaan?” soalnya.
Tambah Wan Saiful, kegagalan menetapkan cukai yang setara serta ketiadaan harga minimum menjadikan vape kekal lebih murah daripada rokok, sekaligus terus menarik minat golongan remaja.
“Tanpa kesaksamaan cukai dan tanpa harga minimum yang munasabah, vape akan kekal jauh lebih murah berbanding rokok, sekaligus terus menjadi pilihan utama dalam kalangan remaja.
“Ini bercanggah dengan niat kerajaan untuk mengawal dan akhirnya mengharamkan produk tersebut,” tambahnya.
Wan Saiful menggariskan tiga langkah utama yang perlu diambil kerajaan bagi mengawal penggunaan vape secara berkesan, iaitu melaksanakan cukai setara dengan produk nikotin lain dan menetapkan harga minimum vape sekurang-kurangnya RM12.
Kerajaan juga katanya, perlu memperkukuhkan penguatkuasaan Akta 852 bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan penjualan kepada golongan bawah umur serta melaksanakan pengharaman secara berperingkat agar tidak mencetuskan pasaran gelap yang sukar dikawal.
Beliau turut menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai tidak konsisten serta gagal menangani isu vape secara menyeluruh.
“Tanpa kejelasan dasar dan tindakan segera, Belanjawan ini tidak konsisten dan gagal menangani isu vape secara menyeluruh.
“Kerajaan tidak boleh hanya bercakap tentang pengharaman tetapi, langkah kawalan yang paling asas pun tak mahu dilaksanakan lebih awal,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















