Keadaan dapur rumah mangsa selepas berlaku letupan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku letupan berpunca daripada kebocoran saluran hos tong gas memasak (LPG) di rumahnya di Taman Alma di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.50 petang, menyebabkan mangsa berusia 70 tahun itu melecur tahap satu dan telah dihantar ke hospital oleh ahli keluarga sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang dan bomba tiba di lokasi kira-kira 25 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan awal kita mendapati kejadian itu melibatkan letupan kecil di bahagian dapur iaitu dari kabinet yang berpunca daripada kebocoran saluran hos tong LPG.

“Letupan tersebut turut mengakibatkan sebahagian kecil struktur (dapur) mengalami kerosakan,”katanya kepada pemberita hari ini.

Sebahagian kecil struktur dapur turut mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.

Tambah beliau, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pengudaraan bagi memastikan tiada lagi sisa gas tertinggal sebelum menyerahkan lokasi kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast