KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyambut baik
pengumuman Belanjawan MADANI Tahun 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM21.74 bilion bagi tahun 2026 bagi mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan
negara.
Hasil perbandingan kepada tahun 2025, peruntukan tahun ini meningkat kira-kira 2.92 peratus meliputi RM14.11 bilion adalah untuk Peruntukan Mengurus (OE) dan RM7.63 bilion adalah bagi Peruntukan Pembangunan (DE).
“Melalui peruntukan ini, Kementerian Pertahanan akan memberi penumpuan kepada membina Angkatan Masa Hadapan selaras dengan hala tuju yang telah digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal moden, berkeupayaan tinggi dan bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
“Penetapan fokus strategik ini setelah mengambil kira perkembangan landskap keselamatan yang semakin luas dan kompleks sekaligus boleh menggugat keamanan negara.” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, peruntukan sebanyak RM6 bilion akan digunakan untuk keperluan penyelenggaraan dan perolehan aset pertahanan meliputi sistem Medium, Short dan Very Short Range Air Defence (MR-SHORAD & VSHORAD) dan dua buah kapal sokongan pelbagai peranan (Multi Role Support Ship – MRSS).
Selain pengukuhan aset, Kementerian Pertahanan turut menumpukan kepada penambahbaikan kemudahan latihan dan infrastruktur ketenteraan di seluruh negara.
Antara projek utama bagi tahun 2026 adalah menaik taraf fasiliti baharu di Pusat Latihan Artileri, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
“Dalam masa yang sama, agenda kesejahteraan warga Pertahanan terus menjadi tunjang kekuatan pertahanan negara dan keutuhan sistem pertahanan secara keseluruhan.
“Melalui skim PROTÉGÉ, semua syarikat penerima projek perolehan di bawah Kementerian Pertahanan diwajibkan menyedia peluang pekerjaan dan Latihan kemahiran kepada veteran ATM, menyediakan latihan sijil dan diploma kepada
anggota ATM sebelum bersara serta menyediakan pembiayaan program Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme untuk meningkatkan kebolehpasaran anggota tentera yang akan bersara,” katanya.
Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang untuk manfaat hamper 800 anggota dan keluarga.
Sebagai penghargaan terhadap pengorbanan dan keperwiraan anggota ATM khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM), bayaran khas RM500 akan diberikan kepada hampir 120,000 penerima PJM dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
Bagi memastikan kesiapsiagaan yang optimum, keutamaan akan diberikan kepada veteran tentera dalam memenuhi keperluan 220 tenaga kerja Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Program Jiwa Murni MADANI diperkukuh dengan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi memperluas pelaksanaan projek khidmat masyarakat dan pemulihan infrastruktur asas oleh ATM di peringkat komuniti selaras dengan Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan penglibatan rakyat melalui pendidikan, kesedaran dan mobilisasi dalam mempertahankan negara.
“Kementerian Pertahanan yakin Belanjawan 2026 akan menjadi pemangkin dalam memperkukuh sistem pertahanan negara secara menyeluruh. Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan, meningkatkan kecekapan tenaga serta menjaga kebajikan warga Pertahanan termasuk veteran ATM.
“Pendekatan ini selaras dengan matlamat HANRUH yang menuntut keseimbangan antara kekuatan aset, keutuhan institusi dan kesejahteraan warga kerja pertahanan,” ujarnya.
Seiring itu, Kementerian Pertahanan komited untuk menggunakan setiap sen peruntukan Belanjawan 2026 secara berhemat, berkesan dan memberi impak langsung kepada warga Pertahanan serta keselamatan negara.
“Usaha ini akan diteruskan dengan semangat “Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur,” selaras dengan matlamat
membina Angkatan Masa Hadapan yang profesional, moden dan berwibawa.” katanya. – MalaysiaGazette















