Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Razman Zakaria berpandangan Belanjawan 2026 perlu disemak semula supaya benar-benar mencerminkan hasrat untuk membina ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, walaupun terdapat beberapa usaha baik yang diumumkan seperti bantuan kepada sektor pendidikan dan kesihatan, namun secara keseluruhannya belanjawan itu masih belum memperlihatkan hala tuju yang kukuh bagi memperkukuh asas ekonomi negara serta meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Selain itu, katanya, Belanjawan 2026 juga tidak memperlihatkan strategi yang jelas dalam mewujudkan sumber pendapatan baharu yang mampan.

“Negara masih terlalu bergantung kepada hasil tradisional seperti cukai dan hasil petroleum, tanpa perancangan konkrit untuk memperkukuh sektor produktif seperti pertanian moden, industri halal, dan pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Belanjawan 2026 juga memperlihatkan sumbangan syarikat milik kerajaan (GLC) kepada ekonomi negara masih belum menjadi pemangkin utama kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya kerajaan memastikan GLC ditadbir secara telus dan berkeupayaan menjana keuntungan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta ekonomi tempatan.

Dalam masa sama, beliau berharap supaya langkah meningkatkan hasil melalui cukai serta pengurangan subsidi asas seperti bahan api, elektrik dan makanan dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.

Ini kerana, ujarnya, kesan langsung pendekatan itu amat dirasai oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, jelas beliau, hutang kerajaan yang kini melebihi RM1.2 trilion menunjukkan kedudukan fiskal yang perlu dipantau dengan serius.

“Kerajaan wajar memperkukuh disiplin kewangan dan memastikan setiap perbelanjaan mempunyai impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, meskipun konsep subsidi bersasar baik di atas kertas, namun pelaksanaannya perlu ditambah baik agar tiada golongan yang tercicir.

Ini kerana, dakwanya, ramai keluarga berpendapatan sederhana rendah tidak tersenarai dalam data penerima bantuan sebenar, sekali gus perlu disemak segera.

“Saya berpandangan bahawa tiada pelan menyeluruh yang benar-benar mampu menstabilkan harga barang atau meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Usaha kerajaan perlu diselaraskan dengan langkah mengukuhkan sektor pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan import makanan,” katanya.

Tambah Razman, beliau menghargai usaha kerajaan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, namun rakyat kini semakin matang dan menilai berdasarkan kesan jangka panjang.

Katanya, dasar ekonomi yang adil, mampan dan konsisten lebih diperlukan untuk menjamin kestabilan negara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast