INFO grafik yang dikongsikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di laman sosial Facebook beliau berkenaan insiden murid tahun empat yang meninggal dunia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa pihaknya lambat bertindak termasuk tidak mengambil langkah segera yang serius berhubung insiden seorang murid tahun empat yang ditemukan maut di sekolahnya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menyifatkan dakwaan itu tidak benar, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bertindak pantas dengan penuh integriti dan profesionalisme bagi menangani kes tersebut.

Malah, menerusi laman sosial Facebooknya hari ini, Fadhlina turut berkongsi antara perkara yang telah dan sedang dilaksanakan KPM berhubung insiden itu.

Fadhlina Sidek.

Antaranya, kata beliau, pihaknya membuat laporan segera kepada polis dan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Saya dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia menziarahi keluarga bagi menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah,” kataya.

Tambah Fadhlina, langkah lain yang diambil termasuk memberi jaminan kepada keluarga yang mana siasatan yang telus akan dilaksanakan untuk menegakkan keadilan.

Selain itu, katanya, adalah dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan setiap aspek terkait kes tersebut ditangani, serta memastikan bantuan diberi kepada keluarga.

Di samping itu, jelasnya, KPM juga melaksanakan program intervensi psikosial bertujuan memelihara kesejahteraan mental dan emosi murid, guru dan seluruh warga sekolah terlibat, selain audit keselamatan sedang giat berjalan di semua sekolah seluruh negara.

“Semua gerak kerja yang telah dan sedang berjalan dikongsikan secara terbuka menerusi saluran media konvensional dan media sosial,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa siasatan terperinci dijalankan segera berhubung kejadian seorang murid tahun empat yang ditemukan maut di sekolahnya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan itu bagi menentukan sama ada murid berkenaan telah meninggal dunia semasa dijumpai di sekolah itu, serta kemungkinan kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah iaitu membunuh.

Tambah Takiyuddin, PN juga kesal kerana Fadhlina kelihatan tidak mengambil langkah segera yang serius termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat KPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast