BAITULMAQDIS – Israel enggan membebaskan dua doktor Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza, mencetuskan kritikan daripada organisasi hak asasi manusia dan para pegawai Palestin.
Para pegawai Palestin memberitahu CNN bahawa negara penceroboh itu enggan membebaskan pakar kanak-kanak, Dr. Hussam Abu Safiya yang berkhidmat sebagai Pengarah di Hospital Kamal Adwan, utara Gaza.
Dr, Abu Safiya ditahan semasa tentera Israel menyerbu hospital tersebut pada Disember 2024 yang mana ia merupakan hospital terakhir yang masih beroperasi di Jalur Gaza terpaksa ditutup.
Pengarah hospital medan di Gaza, Dr. Marwan al-Hams juga dikecualikan daripada perjanjian itu, menurut para pegawai.
Kedua-dua doktor itu yang merupakan individu penting dalam sistem penjagaan kesihatan Gaza, dilaporkan ditahan ketika sedang merawat pesakit di bawah kepungan yang mengerikan.
Pengecualian nama mereka daripada senarai pembebasan tahanan dan banduan mencetuskan kemarahan golongan politik dan kumpulan advokasi perubatan Palestin.
Para pengkritik berkata, keputusan menahan pembebasan kakitangan kesihatan menggambarkan sasaran yang disengajakan dalam sektor kesihatan Gaza, taktik yang disifatkan sebagai sebahagian daripada serangan Israel yang lebih besar ke atas infrastruktur awam di Jalur Gaza.
Para pegawai Palestin mengutuk penahanan tersebut, menuduh Israel menggunakan pekerja penjagaan kesihatan sebagai senjata dan mencabul norma kemanusiaan antarabangsa.
Lumpulan hak asasi manusia memberi amaran bahawa menghalang kepulangan kakitangan perubatan utama melemahkan objektif kemanusiaan dalam gencatan senjata itu.
Seorang jurucakap Hamas menyatakan keenganan untuk membebaskan doktor yang berkhidmat kepada penduduk Gaza menunjukkan negara penceroboh itu tidak mengendahkan nyawa manusia dan mensabotaj usaha mencapai keamanan.
Para penganalisis berkata, tindakan itu bukan hanya meruncingkan lagi krisis penjagaan kesihatan di Gaza tetapi juga menghakis kepercayaan dalam rundingan dan perjanjian pertukaran tahanan dan banduan pada masa depan.
Perjanjian yang dicapai pada Rabu lalu meliputi rancangan pembebasan 48 tahanan Israel di Gaza yang mana 20 dipercayai masih hidup.
Israel wajib membebaskan 250 penduduk Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 1,700 tahanan Palestin dari Gaza yang sejak 7 Oktober 2023. – Agensi
















