Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan ketika sidang media selepas menyambut sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotila Coalition (FCC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

SEPANG – Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Turkiye atas sokongan, bantuan serta fasilitasi dalam memastikan kepulangan sembilan sukarelawan negara ini dengan selamat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Wisma Putra turut menghargai sumbangan dan kerjasama negara sahabat yang membantu menjayakan usaha pembebasan segera itu dari Penjara Ketziot, Israel.

“Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi turut memainkan peranan penting dalam proses repatriasi.

“Mereka juga membantu dalam memastikan kebajikan para sukarelawan Malaysia sepanjang urusan transit dan kepulangan mereka ke tanah air,” katanya yang membacakan kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut kepulangan sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Freedom Flotilla Coalition (FCC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

Terdahulu beliau bersama Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyambut ketibaan sembilan rakyat Malaysia di Balai Ketibaan, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Zulkifli berkata, Wisma Putra mengesahkan ketibaan kesemua sembilan peserta Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di KLIA Terminal 1 pukul 3.55 petang tadi.

“Kesemua rakyat Malaysia tersebut berada dalam keadaan sihat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast