Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha bercakap kepada pemberita pada sidang media sempenan sambutan ketibaan sembilan delegasi Malaysia misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

SEPANG – Perjuangan membebaskan Palestin tidak akan terhenti meski pun misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dihalang rejim zionis dalam pelayarannya baru-baru ini.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Datuk Seri Ir Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pihaknya tidak akan berhenti berjuang memerdekakan Palestin yang telah dijajah Israel selama 76 tahun itu.

“Misi ini tidak perlu sampai ke Gaza untuk berjaya kerana ketika dunia mula memerhati, ketika kita semua resah tentang nasib rakyat di Gaza, objektif misi ini sudah tercapai.

“Israel boleh menahan kapal dan memenjarakan aktivis kita namun gelombang flotilla ke Gaza akan terus berlayar. Malah ia tidak mampu meruntuhkan semangat solidariti kita semua,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut kepulangan sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Freedom Flotilla Coalition (FCC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

Terdahulu kesemua sembilan delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan FFCxTMTG yang menaiki penerbangan Saudi SV0834 selamat tiba di Terminal 1, KLIA pukul 4 petang tadi.

Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi aktivis adalah pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

Semua sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai Misi Freedom Flotilla Coalition (FCC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2025.

Dalam pada itu, MyCARE juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang membantu membebas dan menyelamatkan petugas perubatan dan petugas media setelah ditahan di Penjara Ketziot, Negev, Israel, Khamis lalu.

“MyCARE ucapkan terima kasih atas usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta jasa baik Turkiye membantu sembilan aktivis kita.

“Malah membenarkan mereka ini menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul bagi membawa rakyat Malaysia dari Israel sebelum kembali ke tanah air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sembilan delegasi Malaysia selamat tiba di KLIA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast