SEPANG – Kesemua sembilan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) selamat tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira 4 petang tadi.
Mereka yang menaiki pesawat Saudia Airlines, SV834 berlepas dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira 6.25 petang waktu Istanbul.
Sebelum ini, media melaporkan Wisma Putra mengesahkan sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan dibebas dan diterbangkan dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Mereka tiba di Istanbul pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia) dan kesemua aktivis dijangka pulang ke tanah air hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan ditunda dengan kesemua aktivis atas kapal termasuk sembilan rakyat Malaysia dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
Mereka merupakan antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – MalaysiaGazette
















