Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Pas membuktikan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu tidak percaya kepada kebolehan pemimpin tempatan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan tersebut menunjukkan Pas lebih mengutamakan individu luar berbanding kepimpinan Sabah sendiri dalam menguruskan jentera pilihan raya negeri itu.

“Perlantikan Annuar Musa sebagai Pengarah PRN Sabah membuktikan Pas tidak percaya kepada kebolehan pemimpin Pas tempatan (Sabah) untuk mengetuai jentera pilihanraya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikan mengulas pelantikan Annuar sebagai Pengarah PRN Sabah oleh Abdul Hadi sendiri semalam.

Menurut Annuar, beliau turut dilantik jawatan penting yang lain seperti Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan Timbalan Pengerusi Lajnah Pilihan Raya dan Latihan Politik.

Dalam pada itu, Puad turut mendakwa Annuar sebelum ini gagal menjalankan tugasnya apabila diberi tanggungjawab sama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan.

“Annuar terbukti gagal apabila diberi peranan sama ketika berlaku PRK Nenggiri, Kelantan. UMNO merampas kerusi di negeri kubu kuat Pas. Calon UMNO menang dengan majoriti yang amat besar,” katanya.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumumkan menang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 3,352 undi.

Puad turut berkata, perkara itu sekali gus membuktikan penyertaan Pas dalam PRN Sabah hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa keyakinan untuk menang dan menjadikan Annuar sebagai ‘kambing hitam’ sekiranya calon Pas di Sabah kalah teruk atau hilang wang deposit.

“Ia tidak serius dan tidak yakin untuk menang. Annuar akan jadi kambing hitam jika calon Pas di PRN Sabah kalah teruk atau hilang wang deposit.

“Apakah kali ini Annuar akan melihat duit berlonggok di atas katil bilik hotel sekali lagi?” sindirnya.

PN sebelum ini menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi pada PRN Sabah nanti.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah tersebut menunjukkan hasrat gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast