KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan secara total penggunaan rokok elektronik (vape) di negeri itu.
Naib Ketuanya, Mohd Faizzuddin Mohd Zai berkata, Selangor sepatutnya mencontohi negeri-negeri yang telah mengharamkan vape seperti Kelantan yang menjadi negeri pertama menguatkuasakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015.
Bahkan, tambahnya, Perlis dan Terengganu juga mengambil keputusan melarang penjualan produk tersebut pada 1 Ogos lalu, selain Kedah yang akan menghentikan operasi jualan vape menjelang Disember ini.
Tegas beliau, kerajaan negeri berkuasa penuh terhadap larangan penjualan vape kerana mempunyai kuasa untuk memberi lesen kebenaran penjualannya.

Namun, ujarnya, kenyataan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin yang mencadangkan agar hasil cukai jualan vape disalurkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sangat mengecewakan rakyat Selangor.
“Apa lagi yang dapat diharapkan rakyat negeri Selangor terhadap taraf kesihatan awam negeri ini apabila Exco yang bertanggungjawab pun tidak sensitif dengan ancaman penyakit hasil penggunaan vape, terutama yang melibatkan anak muda dan pelajar sekolah.
“Adakah kerajaan pimpinan Datuk Seri Amiruddin Shari (Menteri Besar Selangor) mahu membentuk pelapis masa depan yang terjejas kesihatan mereka?
“Jika benar, ini adalah suatu siri pengkhianatan terhadap anak muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kenyataan Jamaliah itu juga dilihat bercanggah dengan pendirian Amiruddin yang sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melaksanakan larangan penjualan vape di Selangor.
Jelasnya, percanggahan dasar sebegitu mengelirukan rakyat dan memberi gambaran kerajaan negeri tidak tegas dalam menjaga kesihatan awam, malah seolah-olah tiada kesefahaman dalam melaksanakan suatu dasar.
“Maka, Dewan Pemuda Pas Selangor sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan penjualan vape secara serta-merta.
“Nyawa dan masa depan generasi muda jauh lebih berharga daripada hasil cukai sementara,” katanya.
Tambah beliau, Selangor mesti menjadi negeri contoh dalam memperjuangkan kesihatan awam, bukan tunduk kepada tekanan industri atau kepentingan ekonomi sempit.
Tegasnya, kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab memilih untuk melindungi rakyat, bukan menagih hasil daripada ketagihan.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor mencadangkan agar sebahagian hasil cukai daripada penjualan produk rokok elektronik atau vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan penguatkuasaan serta pendidikan awam.
Memetik kenyataan Jamaliah, katanya, langkah itu penting bagi memastikan hasil cukai yang dikutip dapat dimanfaatkan secara langsung untuk mengurus serta menangani kesan negatif penjualan dan penggunaan vape. – MalaysiaGazette
















