ISLAMABAD – Pertempuran meletus di sempadan Afghanistan-Pakistan dengan kedua-dua belah pihak mengesahkan kejadian tersebut dengan dakwaan berlaku pencabulan ruang udara dan serangan.
Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata, angkatan tenteranya melancarkan ‘operasi membalas dendam yang berjaya’ terhadap kedudukan keselamatan Pakistan ‘di sepanjang Garisan Durand’ sebagai tindak balas apa yang disifatkan sebagai serangan udara Pakistan yang berulang.
Kenyataan tersebut dilakukan menerusi platform X oleh jurucakap, Enayat Khowarazm yang menyatakan bahawa ‘operasi tamat’ pada tengah malam.
Seorang Pegawai Daerah Pakistan, Jan Achakzai mengesahkan bahawa pertempuran berlaku pada hantaran di platform X yang menyatakan angkatan tentera Pakistan melakukan tindak balas terhadap pencerobohan Afghanistan.
“Tentera Afghanistan melancarkan serangan ke atas lima atau enam lokasi di sempadan Pakistan-Afghanistan, menyasarkan pos kawalan Pakistan,” katanya.
Tindak balas tentera Pakistan sangat sengit menyebabkan penyerang Afghanistan terpaksa berundur mengakbatkan kematian, dakwanya.
Beliau menambah, sempadan Pakistan terkawal dan kerajaan Afghanistan perlu ingat bahawa keinginan Pakistan mencapai keamanan tidak seharusnya disalah ertikan sebagai kelemahan.
Kedua-dua belah pihak tidak menyatakan bilangan mereka yang terbunuh.
Insiden tersebut tercetus akibat letupan di Kabul pada Khamis lalu, yang mana para pegawai Afghanistan menyalahkan serangan udara Pakistan.
Islamabad tidak mengesahkan negara itu melakukan sebarang serangan di sempadan.
Peningkatan ketegangan antara dua negara berjiran itu baru-baru ini adalah akibat daripada aktiviti keselamatan sempadan dan militan.
Islamabad menuduh Kabul melindungi pejuang Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), dakwaan yang dinafikan pentadbiran Taliban.
















