KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan terperinci dijalankan segera berhubung kejadian seorang murid tahun empat yang ditemukan maut di sekolahnya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu bagi menentukan sama ada murid berkenaan telah meninggal dunia semasa dijumpai di sekolah itu, serta kemungkinan kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah iaitu membunuh.
Jelasnya, apa yang menghairankan apabila kes itu difahamkan hanya diklasifikasikan sebagai kes buli dan disiasat di bawah seksyen 507C, Kanun Keseksaan, bukannya satu kes bunuh di bawah seksyen 302, Kanun yang sama.
“Ahli-ahli Parlimen PN amat kesal dan dukacita dengan tahap keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan sekarang yang kelihatan semakin tidak terkawal sehingga melibatkan siri-siri kematian pelajar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Takiyuddin, PN juga kesal kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kelihatan tidak mengambil langkah segera yang serius termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM).
Sebaliknya, kata beliau, Fadhlina hanya menyatakan banyak yang perlu diperhalusi dan ia mengambil masa sebelum memaklumkan perkara itu ke pengetahuan masyarakat umum.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat terutamanya untuk para pelajar, namun kejadian malang yang berlaku saban waktu menunjukkan kegagalan semua pihak berkaitan KPM menjamin keselamatan di institusi-institusi pendidikan, terutama di peringkat sekolah rendah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan awal bulan ini, sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, laporan bedah siasat mendapati tekanan pada leher disahkan sebagai punca kematian pelajar berkenaan.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes kematian itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu buli melalui komunikasi. – MalaysiaGazette
















