KUALA SELANGOR- MCA diberi peluang untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak lama lagi.
Bagaimanapun Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan diberikan, sebaliknya berkata ia akan diumum semasa penamaan calon BN kelak.
“MCA kita beri calon bertanding, MIC mungkin tidak sebab jumlah pengundi kaum India terlalu kecil tapi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kita beri sebagai parti komponen dalam BN,” katanya ketika ditemui di Program PuTERA35@ Kampus UITM, di Puncak Alam, hari ini.
Tambah beliau, BN pada pilihan raya kali ini menekankan golongan profesional sebagai calon selain mengemukakan muka-muka baru.
“Calon kebanyakan muka baru di samping kita mengekalkan muka lama dan kita menekankan golongan profesional calon BN,” katanya.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pada 8 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN tersebut.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pemakluman itu diterima daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya kelmarin.
Sebagaimana diperuntuk di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran tersebut.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.-MalaysiaGazette
















