KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan keempat-empat suspek kes rogol bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka tidak menduduki ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 3 November ini.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, sekiranya mereka dibenarkan menduduki peperiksaan itu seperti biasa, keadaan seolah-olah seperti biasa selepas terlibat dengan kes rogol, walhal mangsa sedang menghadapi pelbagai cabaran hidup yang berat seperti trauma, kehilangan maruah dan malu akibat penyebaran video rogol tersebut yang dirakam oleh salah seorang
daripada mereka.
Bagaimanapun, menurutnya, jika pelajar terbabit dibuktikan bersalah, mereka boleh menduduki peperiksaan itu di Sekolah Henry Gurney pada tahun berikutanya meneruskan pendidikan tertiari di sekolah integriti.
“Langkah ini juga tidak bercanggah dengan prinsip pendidikan
untuk semua,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelajar terbabit dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang bermula 3 November ini.
Harris Idaham berkata, pihaknya menyifatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan yang terlalu terbuka dan berpendapat pendirian tersebut adalah too linient dan tidak mengambilkira kes secara menyeluruh.
Tambah beliau, walaupun keempat-empat suspek utama masih belum didapati bersalah di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan, namun insiden tersebut menggemparkan seluruh negara.
Sementara itu, Harris Idaham mendakwa, jenayah yang dilakukan itu merupakan jenayah terancang yang mana setiap pelajar yang terlibat mempunyai tugasan masing-masing iaitu merogol, merakam, memastikan tangga dikawal dan menyebarkan rakaman yang dilakukan
Katanya, Armada berpendapat pelajar pada hari ini mempunyai keberanian luar biasa untuk melakukan jenayah ekoran daripada insiden kematian Zara Qairina Mahathir yang disebabkan kes buli dan kini kes rogol secara bergilir-gilir menyebabkan kebimbangan dan persoalan daripada masyarakat.
Harris Idaham mendakwa, kejadian insiden ini berlaku ekoran daripada KPM yang tidak menunjukkan ketegasan terhadap jenayah apabila KPM membenarkan pelajar terbabit untuk menduduki peperiksaan SPM.
Beliau menegaskan, KPM harus bertindak untuk menjamin keselamatan pelajar di sekolah yang disebabkan oleh kejadian tidak terduga sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan kebimbangan dan menyebabkan mangsa menghadapi kesan seperti trauma, kehilangan maruah dan malu jika insiden ini tersebar di khalayak umum. – MalaysiaGazette















