Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Penjawat awam perlu meningkatkan kecekapan sistem perkhidmatan sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan untuk menaikkan cukai atau tarif terhadap rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam wajar menilai sama ada sistem yang diwarisi dan masih diguna pakai kini benar-benar berkesan.

Ia termasuk memastikan isu rasuah, ketirisan dan penyeludupan ditangani terlebih dahulu sebelum menambah beban kewangan rakyat, ujarnya.

“Kalau nak berikan yang lebih kepada rakyat, harus ada hasil yang lebih, bukan cukai.

“Tapi ini juga mengingatkan saya mengenai prinsip yang saya yakini begitu lama iaitu sebelum kita fikir suka cukai, kita fikir soal kerja kita, pelaksanaan kita dan sistem yang kita warisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena bulan Oktober, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu, Anwar berkata, tadbir urus yang baik amat penting dalam kerangka pentadbiran negara dan kejayaannya bergantung kepada corak pemikiran serta kebertanggungjawaban penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

“Apakah sistem itu cekap, apakah kita dapat kawal ketirisan, adakah kita kawal rasuah atau penyeludupan? Jadi sebelum kita fikirkan soal cukai yang kadang-kadang membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan dalam pentadbiran kita,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa nilai integriti dan kecekapan bukan sekadar slogan, tetapi mesti diterapkan secara menyeluruh dalam setiap peringkat pentadbiran agar negara dapat bergerak keluar daripada sistem lama yang penuh ketirisan dan kelemahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast