PUTRAJAYA – Empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang disiasat kerana disyaki merogol pelajar tingkatan 3 di sebuah sekolah dekat Melaka tidak akan menduduki peperiksaan itu di institusi pendidikan yang sama.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, sebaliknya kesemua empat pelajar terbabit akan menduduki SPM di lokasi khas sama ada pusat tahanan mahupun lokasi yang ditetapkan.
“Suspek yang terlibat tidak akan mengambil SPM di sekolah (tempat kejadian). Sebaliknya mereka akan berada di tempat yang ditetapkan.
“Sama ada di tempat tahanan atau tempat berasingan dari pusat di sekolah mereka,” katanya pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan pelajar perempuan Tingkatan 3 sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka trauma seumur hidup selepas dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan aksi itu dirakam serta dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.
Kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun terbongkar petang pada 10 Oktober lalu selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video aib anak sulungnya itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika pelajar itu berpatah balik ke kelasnya di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.
Azam berkata, meskipun mereka dibenarkan untuk menduduki peperiksaan itu, namun empat pelajar berusia 17 tahun itu tidak terlepas daripada hukuman.
“Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan SPM tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas dari hukuman.
“Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan berikan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Azam, Lembaga Disiplin Tatatertib Sekolah yang bersidang hari ini menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap kesemua suspek yang terlibat.
“Kementerian Pendidikan juga memberikan tumpuan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Kaunselor, guru bimbingan dan guru kaunseling akan melaksanakan program intervensi psikososial untuk membantu warga sekolah yang terjejas,” katanya.
Selain itu, Azam berkata, meskipun mereka sudah dibuang sekolah, namun pelajar-pelajar terbabit masih boleh memohon untuk menyambung pelajaran mereka berdasarkan keputusan dan prestasi dalam SPM.
“Bila sudah dibuang sekolah, mungkin mereka memohon untuk bersekolah tetapi pastinya mereka tidak akan bersekolah di tempat yang sama. Jadi mereka akan berada di sekolah yang di tempat lain.
“Mereka ini di bawah umur, identiti mereka juga akan kita rahsiakan supaya kita dapat uruskan mereka menduduki peperiksaan dengan baik.
“Kalau misalkan ditempatkan di pusat tahanan, kita memang ada prosedur dalam buku pengurusan pengendalian peperiksaan SPM di lembaga peperiksaan. Kita akan uruskanlah mengikut prosedur yang ada,” katanya.
Katanya lagi, semua pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM di seluruh negara diingatkan mengambil tindakan dan meletakkan keperluan meningkatkan pemantauan serta keberkesanan aspek keselamatan di institusi masing-masing.
“Pada masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat juga disuruh untuk turut bersama-sama dan bekerjasama untuk memastikan ekosistem yang selamat untuk anak-anak di sekolah dan di luar sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette
















