Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

PUTRAJAYA – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyerahkan memorandum dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  membuka kertas siasatan isu penamatan kontrak enam syarikat konsesi air yang mengendalikan 58 Loji Rawatan Air (LRA) di Sabah pada 2018.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, ia punca kerajaan negeri kerugian ratusan juta ketika itu.

“Akibatnya, kerajaan negeri kini terpaksa membayar pampasan sebanyak RM315.2 juta dan jumlah ini bukan angka kecil.

“Ia adalah wang rakyat Sabah yang sepatutnya digunakan untuk membina sekolah, membaiki jalan, menyediakan bekalan air bersih dan membantu rakyat luar bandar namun kini rakyat Sabah terus menderita.

“Walaupun kerajaan GRS-PH bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ketiadaan air dengan mengaktifkan loji air malahan pembinaan loji air baharu namun masih banyak kawasan yang terjejas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan memorandum di luar pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, G57 mendesak pihak yang bertanggungjawab secara moral dan politik dengan memulangkan semula wang tersebut kepada kerajaan dan rakyat Sabah.

“Kami percaya, SPRM sebagai institusi yang bebas akan memastikan tiada sesiapa terlepas daripada tanggungjawab sekiranya wujud unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dalam keputusan tersebut,” katanya.

Katanya lagi, G57 juga akan menunggu maklum balas rasmi daripada pihak berkaitan dan sekiranya tiada penjelasan memuaskan diterima, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil langkah susulan termasuk tindakan undang-undang sivil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast