Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Annuar Musa  untuk mengambil tindakan undang-undang atau mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ke sesi podcast berkaitan isu Kampung Sungai Baru, hanya gimik politik semata-mata.

Timbalan Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Mohd. Ashraf Mazlan berkata, tindakan itu merupakan cubaan mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok iaitu tindakan tergesa-gesa dan kekurangan konsultasi awam dalam proses pengambilan tanah semasa beliau menerajui kementerian.

“Dr. Zaliha telah mengambil langkah lebih terbuka berunding dengan penduduk dan pemilik tanah serta memastikan setiap keputusan dibuat secara profesional dan berpaksikan prinsip good governance serta ketelusan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap kepada media selepas hadir meninjau dan melawat mangsa insiden bumbung terbang akibat ribut di PPR Seri Cempaka, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Mohd. Ashraf mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO itu pada 10 Oktober lalu yang menjemput Dr. Zaliha untuk menjadi tetamu di Podcast Muafakat sama ada hari ini, esok atau Rabu di Studio Podcast Muafakat, Plaza Damas di sini.

Annuar berkata, beliau mahu membuktikan Dr. Zaliha berbohong di Parlimen serta memfitnah dan memesongkan fakta sebenar berhubung perkara berkenaan.

Dalam kenyataannya, Mohd. Ashraf menolak sekeras-kerasnya kenyataan Annuar yang mendakwa menteri berkenaan memesongkan fakta dalam isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.

Ujar beliau, tuduhan tersebut jelas tidak berasas dan bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya, fakta sebenar menunjukkan pewartaan tanah Kampung Sungai Baru memang dilakukan dalam tempoh singkat ketika Annuar memegang jawatan itu.

“Proses ini telah menimbulkan kekeliruan serta ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk setempat kerana dilihat terlalu tergesa-gesa tanpa rundingan menyeluruh bersama pemilik tanah,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Ashraf, penjelasan diberikan Dr. Zaliha di Dewan Rakyat berdasarkan rekod rasmi kerajaan dan semakan dokumen Jabatan Tanah dan Galian (WPKL) bukan andaian atau tuduhan peribadi.

Katanya, beliau menzahirkan komitmen untuk menilai semula proses pengambilan tanah tersebut dengan lebih telus dan adil agar kepentingan rakyat didahulukan.

Sehubungan itu, beliau menyokong sepenuhnya ketegasan dan keberanian menteri berkenaan dalam memperbetulkan naratif yang telah disalahertikan.

Mohd. Ashraf berkata, pihaknya yakin usaha beliau akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap dasar pembangunan bandar yang lebih adil dan berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast