MERSING – Sebuah bot kargo Indonesia membawa 10,240 kilogram serbuk bijih timah bernilai lebih RM1.5 juta ditahan pada kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil di sini semalam.
Kapal kargo asing tersebut ditahan anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 1.30 petang.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda maritim semasa melakukan Op Jaksa dan Op Tiris.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kapal kargo tersebut dilaporkan dari Tanjung Pinang, Indonesia membawa muatan 10,240 kilogram serbuk bijih timah bernilai lebih RM1.5 juta untuk dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa barangan import masuk ke negara ini.
“Nakhoda bersama-sama empat kru kesemuanya merupakan warganegara Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 47 tahun ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 mana yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kes akan disiasat bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Berikutan kes tersebut, pihaknya ujarnya, menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan operasi di sepanjang Zon Maritim Malaysia (ZMM).
Pihak Zon Maritim Mersing juga mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-219 9404.- MalaysiaGazette
















