Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengkritik sikap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan yang didakwa mempertahankan insiden  pengibaran bendera Israel ketika Program 500 Pelayaran Solidariti di negeri itu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak pembangkang yang membisu mengenai insiden yang berlaku di Sungai Kelantan itu.

“Kita tahu bahawa Israel ini melakukan pelbagai isu yang melibatkan kemanusiaan dan kita mengecam dengan kuatnya pendekatan ataupun kerajaan Israel ini bila-bila masa.

“Persoalan saya, kita lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusahakan kejayaan membawa balik aktivis yang memperjuangkan hak asasi dalam Global Sumud Flotilla (GSF).

“Tak ada seorang pun daripada sebelah sana memuji Perdana Menteri. Tak ada seorang pun. Tak ada pemimpin Pas atau Bersatu tetapi apabila isu bendera Israel dikibarkan di Sungai Kelantan, takkan orang Kelantan tak tahu kalau kita demonstrasi, bakar bendera itu, pijak bendera itu,” katanya ketika  mencelah sesi perbahasan Belanjawan 2026 oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Fadzli Hassan sebelum ini menjelaskan insiden tersebut hanyalah lakonan semula yang menggambarkan serangan bot tentera Israel terhadap pejuang Palestin sebelum akhirnya ditewaskan.

Terdahulu, program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang berlangsung di Sungai Kelantan terpalit kontroversi selepas bendera Israel turut dikibarkan dan videonya tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan dalam kalangan warga maya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast