GEORGE TOWN – Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi terhadap dua guru termasuk seorang pesara dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian, di sini, yang didakwa merotan seorang pelajar lelaki hingga cedera, minggu lalu.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya memahami kegusaran yang timbul dalam kalangan ibu bapa, pendidik serta masyarakat umum susulan perkembangan kes berkenaan.
“Kami telah berjumpa dengan salah seorang guru yang terlibat untuk memahami situasi dengan lebih jelas.
“Kami menghormati siasatan serta proses perundangan yang sedang berlangsung namun, adalah penting untuk semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian awal,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Pelajar cedera dirotan, dua guru termasuk pesara mengaku tak bersalah
Media sebelum ini melaporkan bahawa dua guru lelaki masing-masing berusia 47 dan 59 tahun didakwa di dua Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun ketika itu, dalam dua kejadian berasingan pada tahun 2023.
Kedua-dua mereka, termasuk salah seorang yang telah bersara, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.
Mengulas lanjut, kedua-dua wakil rakyat itu turut menasihati masyarakat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai ruang menjatuhkan hukuman atau mengadili mana-mana pihak secara terbuka.
“Kami difahamkan bahawa satu perhimpunan awam bagi menyatakan sokongan terhadap guru-guru tersebut sedang dirancang.
“Kami faham niat baik di sebalik inisiatif tersebut, namun kami menyeru agar orang ramai berfikir secara matang dan berhati-hati supaya tindakan itu tidak disalah tafsir atau dipolitikkan,” katanya.
“Sebarang tindakan luar jangka boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang berjalan serta memberi kesan tidak langsung kepada guru-guru terbabit,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menggesa semua pihak menunjukkan sokongan dengan cara yang berhemah dan memberikan ruang kepada mahkamah untuk membuat penilaian berdasarkan bukti yang sah. – MalaysiaGazette
















