PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes tidak bermoral seperti aktiviti buli termasuk kes rogol pelajar di sebuah sekolah, baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian seumpana itu mencerminkan kelemahan sistem pendidikan negara yang terlalu menekankan aspek ilmu pengetahuan semata-mata tetapi mengabaikan nilai moral dan etika yang menjadi asas pembentukan insan berakhlak.
“Pendidikan tanpa nilai, tanpa prinsip moral dan etika itu ada kelemahannya.
“Bukan salah guru sahaja, ibubapa jadi mudah-mudahan kita ada tekad lakukanlah sebaiknya untuk kita, untuk keluarga kita untuk masyarakat kita untuk negara kita,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada perjumpaan Perdana Menteri, bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Oktober di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Anwar, sistem pendidikan negara perlu menekankan aspek nilai dan prinsip secara bersungguh-sungguh bagi mengelakkan kejadian buli dan rogol terus berleluasa.
Jelasnya, kelemahan dalam sistem pendidikan juga perlu ditangani segera termasuk daripada ibubapa.
Malah katanya, pendidikan tidak boleh hanya berorientasikan pencapaian akademik, sebaliknya mesti berteraskan pembinaan akhlak dan nilai kemanusiaan agar pelajar benar-benar memahami makna tanggungjawab serta kepimpinan diri.
Menurut Perdana Menteri, gejala buli yang berlaku di sekolah bukan sekadar masalah disiplin pelajar, tetapi tanda bahawa pendidikan negara perlu diseimbangkan semula dengan penekanan terhadap nilai dan prinsip moral.
Beliau berharap agar semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pembentukan sahsiah pelajar, sejajar dengan tanggungjawab bersama membina negara berakhlak dan beretika.
Pada Jumaat lalu, Anwar berkata, buli merupakan jenayah senyap yang mesti dinoktahkan segera kerana gejala itu telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan serta meragut nyawa insan.
Beliau berkata, sama ada berlaku di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya, buli tidak boleh dibiarkan terus berleluasa dan mesti ditangani secara menyeluruh melalui didikan empati serta penguatkuasaan tanpa kompromi. – MalaysiaGazette
















