KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Setiausaha Agung dan Penasihat badan induk bola sepak negara itu meletakkan jawatan serta-merta, susulan dakwaan skandal serius membabitkan pendaftaran pemain naturalisasi secara tidak sah.
Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, FAM telah tergesa-gesa mewarganegarakan beberapa pemain asing bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya tanpa mematuhi peraturan ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“FIFA menetapkan dengan jelas bahawa seorang pemain perlu menjadi warganegara selama sekurang-kurangnya lima tahun sebelum layak mewakili negara baharu dalam sebarang pertandingan antarabangsa di bawah anjurannya.
“Namun, FAM telah memintas peraturan ini dengan menggunakan alasan bahawa datuk nenek pemain tersebut dilahirkan di Malaysia dan berhijrah ke luar negara, kononnya mereka mempunyai ‘darah Malaysia’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, tindakan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kesahihan dokumen yang dikemukakan oleh pemain terbabit dan proses kelulusan yang diberikan oleh FAM.
“Ini bukan sahaja mencemarkan imej bola sepak negara, tetapi boleh menjejaskan kepercayaan antarabangsa terhadap status kewarganegaraan Malaysia, termasuk bagi rakyat Malaysia yang menggunakan pasport negara dalam urusan rasmi dan antarabangsa,” ujarnya.
Irwan berkata, Malaysia tidak mampu lagi berdepan satu lagi kontroversi yang merosakkan reputasi negara di pentas global, apatah lagi selepas terpalit dengan pelbagai skandal sebelum ini seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi memulihkan integriti sukan bola sepak negara dan memastikan maruah serta kedaulatan undang-undang berkaitan kewarganegaraan terus dipelihara.
“Perkasa mendesak agar pihak berkuasa dan pemegang taruh dalam bola sepak negara mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang terlibat dalam isu ini, termasuk mendakwa mereka sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang,” kata beliau.
Tambahnya, hanya dengan peletakan jawatan serta reformasi menyeluruh dalam kepimpinan FAM sahaja yang dapat memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi sukan tanah air. – MalaysiaGazette
















