BUKIT MERTAJAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan Belanjawan Alternatif yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) semalam, bersifat populis dan tidak berpaksikan realiti ekonomi semasa.
Setiausahanya, Abshar Nurasyraf Amram berkata, belanjawan yang diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu sekadar retorik politik tanpa asas kukuh dalam perancangan ekonomi negara.
Beliau yang juga Ketua AMK Bukit Mertajam berkata, antara cadangan yang dikritik adalah pemberian bantuan sehingga RM6,000 setahun kepada rakyat tanpa sebarang penjelasan terperinci mengenai sumber kewangan atau implikasi fiskal terhadap negara.
“Dalam keadaan negara sedang menstruktur semula subsidi dan berusaha menstabilkan defisit, cadangan sebegini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menggugat kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang
“Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan lebih holistik dan realistik melalui Belanjawan 2026.
“Pendekatan kerajaan menumpukan kepada penyasaran semula subsidi, pemerkasaan belia dan OKU, peningkatan produktiviti PKS serta pendigitalan ekonomi. Ini jauh lebih mampan dan berdaya saing berbanding janji manis tanpa asas,” katanya dalam kenyataan media di sini.
TambahAbshar Nurasyraf, belanjawan perlu berdasarkan data sebenar, unjuran ekonomi yang kukuh serta disiplin fiskal berhemah bukan janji kosong untuk bagi meraih sokongan politik.
“Rakyat khususnya golongan rentan dan berpendapatan sederhana semakin matang menilai dasar yang benar-benar membawa manfaat kepada masa depan mereka.
“Justeru kita menyeru anak muda agar menolak politik populis yang menjanjikan bulan dan bintang tanpa pelan pelaksanaan munasabah atau kepentingan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette
















