Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, tindakan Lim Guan Eng sejak dari awal menunjukkan beliau tidak telus untuk melaksanakan projek itu secara tender terbuka.

Penguasa Kanan Zulhilmi Ramli, 33, berkata, tindak tanduk
Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri jelas menunjukkan beliau berhasrat untuk memberikan projek tersebut secara terus kepada sebuah syarikat berpengkalan di China iaitu Beijing Urban Construction Group Co. Ltd. (BUCG).

Ujar beliau, siasatan mendapati Guan Eng menggunakan kedudukan, meminta rasuah dan menyalahgunakan harta dengan curang melalui projek itu yang lebih berbentuk penipuan tanah bertujuan mengaburi mata masyarakat.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-38 berkata, hasil siasatannya mendapati, keputusan Guan Eng melantik BUCG bagi menjalankan projek itu dilakukan secara terburu-buru.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, berdasarkan percakapan Exco Kerja Raya ketika itu, Lim Hock Seng, beliau mendapati tertuduh mempunyai kepentingan dalam projek tersebut dan sememangnya mahu memberikannya kepada BUCG.

Ujar Zulhilmi, Hock Seng mengetahui nama syarikat yang sedang meneroka cadangan membina terowong dan menandatangani MOU dengan kerajaan negeri daripada tertuduh sendiri.

Menurut beliau, perjanjian persefahaman (MoU) kemudian ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan BUCG dan tertuduh berjanji untuk memberikan projek itu secara terus.

“Tertuduh sendiri yang memberikan nama wakil syarikat BUCG iaitu Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan nombor telefon kepada Hock Seng untuk dihubungi,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Menurut Zulhilmi, dalam satu pertemuan sekitar awal Mac 2011 sewaktu Zarul Ahmad menghantar Guan Eng pulang ke hotel The Gardens di Mid Valley, pemimpin DAP itu meminta 10 peratus daripada keuntungan projek daripada Zarul Ahmad dan dipersetujui oleh ahli perniagaan itu.

Ujar beliau, ketika siasatan dijalankan, Guan Eng menafikan menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Menteri, sebaliknya menyatakan projek itu diberikan secara tender terbuka berdasarkan syor pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Katanya, Guan Eng juga menafikan meminta atau menerima wang daripada Zarul Ahmad, namun keterangan saksi dan dokumen yang diperolehi menunjukkan sebaliknya.

Dalam penyataan saksi setebal 65 muka surat, Zulhilmi turut berkata, siasatan turut dijalankan ke atas Zarul Ahmad yang ketika itu pengarah syarikat Consortium Zenith Sdn Bhd (CZSB).

CZSB adalah sebuah syarikat pembinaan yang dimiliki oleh ahli perniagaan itu melalui Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) dan tiga orang rakan kongsi yang ditubuhkan pada 2011 bagi tujuan memasuki tender projek ini.

Pada prosiding itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili
Guan Eng membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi yang mengandungi pendapat pegawai penyiasat itu.

Peguam berkata, pegawai penyiasat turut memberikan pendapat awal berhubung keterangan Zarul Ahmad yang menurutnya bukan rekaan.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mempertahankan keterangan saksi berkenaan yang mengeluarkan pendapat berdasarkan keterangan dan dokumen.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu. Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat miliknya dilantik untuk projek sama. Kesalahan didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast