Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail melakukan gimik perasmian Kempen Anti Buli di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pihak sekolah termasuk guru-guru dan penjaga asrama dinasihatkan agar tidak menyembunyikan sebarang kejadian atau isu yang melibatkan keselamatan murid di sekolah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, seruan itu telah dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita nak pastikan apa juga perkara yang berlaku berkaitan keselamatan anak-anak di sekolah ini perlu diperjelaskan. Maklumat-maklumat ini perlu disalurkan bagi membolehkan tindakan berterusan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program kempen Anti Buli di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid menegaskan, adalah lebih baik pihak sekolah berkongsi segala maklumat dengan pihak berwajib serta ibu bapa supaya sesuatu masalah dapat ditangani dari peringkat awal.

“Saya menasihati supaya guru-guru atau penjaga asrama jangan cuba menyembunyikan fakta atau kejadian yang berlaku.

“Ibu bapa perlu dimaklumkan dan mereka berhak mengetahui apa yang berlaku di tempat anak-anak mereka belajar dan tinggal,” ujarnya.

Tambah beliau, pegawai perhubungan sekolah (PPS) sememangnya telah ditempatkan di setiap sekolah namun, masih wujud segelintir pihak yang cuba menyelesaikan masalah secara dalaman tanpa melaporkan kejadian sebenar.

“Mungkin ada cubaan untuk menyembunyikan fakta dan sebagainya. Sebab itu kita galakkan supaya perkongsian maklumat ini dibuat secara berterusan dan penglibatan diteruskan supaya segala permasalahan dapat kita selesaikan bersama-sama, Insya Allah,” katanya lagi.

Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak, keselamatan pelajar dapat terus dipertingkat dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan dapat dikukuhkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast