PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan sebaran iklan mengenai ‘Permohonan AKPS untuk veteran ATM’ yang tular di aplikasi WhatsApp sambil menegaskan bahawa maklumat tersebut adalah palsu.
AKPS berkata, kerajaan menerusi pengumuman Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu telah bersetuju memperuntukkan 220 perjawatan baharu kepada agensi itu dengan keutamaan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) bagi mengisi jawatan di pintu-pintu masuk yang diwartakan di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].
Bagaimanapun, AKPS menjelaskan perkara itu masih di peringkat perbincangan bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dan akan diperhalusi dalam masa terdekat sebelum sebarang proses pengambilan dilaksanakan.
“Setakat ini, tiada sebarang iklan perjawatan rasmi dibuka. AKPS menasihati semua pihak, khususnya veteran ATM agar tidak terpedaya dengan sebaran maklumat yang tidak sahih ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut menasihati orang ramai untuk merujuk maklumat terkini dan tepat hanya menerusi saluran rasmi AKPS termasuk laman web serta platform media sosial agensi berkenaan. -MalaysiaGazette
















