Jenama ubat batuk yang didakwa mengakibatkan kematian kanak-kanak di India. Gambar media sosial

NEW DELHI — Kerajaan tempatan di negeri selatan India, Tamil Nadu, membatalkan sepenuhnya lesen pembuatan sebuah syarikat farmaseutikal yang bertanggungjawab menghasilkan sirap batuk yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak baru-baru ini di dua negeri.

Kerajaan turut mengarahkan syarikat itu supaya menamatkan operasi sepenuhnya.

Menurut kenyataan rasmi, lesen pembuatan Sresan Pharmaceuticals, syarikat yang menghasilkan sirap batuk tercemar jenama Coldrif, telah dibatalkan.

“Arahan telah dikeluarkan agar pemeriksaan terperinci terhadap syarikat-syarikat pengeluar ubat lain yang beroperasi di Tamil Nadu dijalankan,” tambah kenyataan itu.

Sirap batuk berkenaan didapati mengandungi lebih 45 peratus diethylene glycol, iaitu pelarut industri beracun.

Setakat ini, 24 kematian yang berkaitan dengan sirap batuk tersebut telah disahkan di negeri Madhya Pradesh di tengah India, manakala tiga kematian lagi dilaporkan di negeri Rajasthan di barat negara itu.

Kanak-kanak yang kebanyakannya berumur bawah lima tahun dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh sebulan lalu akibat kegagalan buah pinggang, selepas mengalami komplikasi susulan pengambilan sirap batuk tersebut.

Polis minggu lalu menahan Govindan Ranganathan, pemilik Sresan Pharmaceuticals berusia 75 tahun, di kediamannya di Chennai, bersama dua orang pekerjanya.

Ranganathan kini berdepan pertuduhan membunuh tanpa niat, penyelewengan ubat, serta pelanggaran di bawah Akta Ubat dan Kosmetik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kelemahan dalam peraturan keselamatan ubat-ubatan India, sambil memberi amaran bahawa ubat-ubatan sebegini boleh tersebar ke negara lain melalui saluran pengedaran tidak terkawal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast