KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan kekal istiqamah dalam perjuangan parti itu di sebalik tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mereka.
Dalam sidang akhbar bersama di bangunan Parlimen hari ini, mereka turut menegaskan tidak gentar, sebaliknya akan bangkit menentang pihak yang disifatkan sebagai ‘tali barut’ yang sedang merancang sesuatu terhadap mereka.
Menurut Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, beliau tidak akan berganjak daripada perjuangan bersama Bersatu, iaitu parti yang turut dibinanya sejak dari awal.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) bukan milik peribadi mana-mana individu, tetapi ditubuhkan hasil pengorbanan semua ahli di pelbagai peringat serta akar umbi.
“Parti ini tidak boleh digunakan untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri ataupun ahli keluarga mereka.
“Kami mahu memastikan Bersatu ini diselamatkan dan dikembalikan kepada matlamat dan hala tuju yang sebenar iaitu perjuangan untuk menegakkan dan membela rakyat, bukannya dilibatkan dengan isu-isu berkaitan peribadi atau keluarga semata-mata,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu membuat keputusan memecat Wan Saiful daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta, manakala Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.
Turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan tindakan itu diambil berikutan pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, mereka akan meneliti keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu sebelum mempertimbangkan tindakan selanjutnya iaitu sama ada mahu membuat rayuan, atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menegaskan, beliau tidak akan sesekali gentar, sebaliknya akan bangkit menentang rancangan ‘tali barut’ yang didakwa sedang merancang sesuatu terhadap mereka.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap mereka sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan membelakangkan proses keadilan.
Malah, jelasnya, ia juga merupakan satu kerugian buat Bersatu dan PN sendiri, ketika gabungan parti politik itu sedang mempersiapkan diri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan beberapa negeri lain serta PRU-16.
“Kami tidak akan mengalah sama sekali dan akan bangkit menentang mereka yang cuba menjadi tali barut yang sedang mengatur sesuatu terhadap kami.
“Kami juga tidak bersendirian, malah sebaik sahaja tindakan terhadap kami ini dilaporkan, ramai Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan menyatakan simpati dan sokongan terhadap kami,” katanya. – MalaysiaGazette
















