Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto SYADILA AMARI, 31 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan supaya papan tanda di negara ini dipaparkan dalam pelbagai bahasa bagi memudahkan pelancong asing.

Beliau berkata, kemudahan sedia ada sudah memadai tanpa perlu menambah tulisan dalam bahasa lain seperti Arab, Cina, Tamil atau Hindi.

Tegas Anwar, langkah itu bukan satu keperluan mendesak memandangkan kerajaan sudah menyediakan kemudahan sewajarnya untuk pelancong di lokasi utama seperti lapangan terbang.

“Tak payahlah. Kalau orang Arab ramai datang, kita dah beri kemudahan di lapangan terbang, tak perlu ‘signboard’ Arab.

“Begitu juga bila orang China datang, kita bantu dengan papan tanda di lapangan terbang, tapi tak perlu sampai guna tulisan bahasa Cina.

“Orang India pun sama, itu pun bahasa lain-lain, Tamil, Hindi, Urdu pun ada. Jadi bagi saya tak perlu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penambahan notis atau papan tanda dalam pelbagai bahasabagi menjadikan Malaysia lebih mesra pelawat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast