MUAR – Bomba malam tadi berjaya menemui kereta yang terjunam bersama-sama pemandunya ke dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, ketika ini usaha menarik kereta tersebut ke darat sedang dilakukan.
“Pada pukul 10.21 malam Pasukan Penyelamat Di Air (PPD) telah membuat selaman dengan menggunakan teknik marking dan searching di kawasan sekitar.
“Selaman membuahkan hasil dan berjaya menemui kereta pada jarak 50 meter dari tebing pada kedalaman 15 meter.
“Kerja-kerja membawa naik kereta masih dijalankan. Mangsa masih belum dapat dipastikan sama ada berada dalam kereta,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang pemandu kereta dikhuatiri lemas selepas terlibat kemalangan sebelum terjunam ke dalam Sungai Panchor di pekan Pagoh di sini pukul 2.30 petang tadi.
Sebelum itu tular dalam Facebook sebuah kereta terjatuh dalam sungai dan mangsanya didakwa suami isteri, kejadian berlaku selepas pasangan itu baru lepas makan di sebuah kedai.- MalaysiaGazette
















